Seramai empat (4) orang wakil daripada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah hadir bagi menyampaikan Sumbangan Kafalah Muzakki (khairat kematian) kepada waris pembayar zakat yang layak menerima manfaat skim tersebut.
Sumbangan yang berjumlah RM2,000.00 telah diserahkan oleh Tuan Haji Mohd Saufiyuddin Abu Bakar selaku Pengurus Besar Operasi (Dalam) Pusat Pungutan Zakat (PPZ) kepada Hajah Nor Sa’adah, selaku waris kepada mantan kakitangan Koperasi Ukhwah Muhammad Thariq bin Mustapha Kamal yang telah meninggal dunia. Penyampaian ini turut disaksikan oleh Pengerusi Ukhwah iaitu Dr Haji Mustapha Kamal Maulut yang juga merupakan ayah kepada Allayarham. Skim Kafalah Muzakki merupakan satu inisiatif kebajikan yang ditawarkan oleh PPZ-MAIWP sebagai khairat kematian kepada waris pembayar zakat yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Penyampaian sumbangan ini mencerminkan keprihatinan PPZ-MAIWP dalam menjaga kebajikan para muzakki dan keluarga mereka, di samping memperkukuhkan peranan institusi zakat dalam membantu meringankan beban waris yang ditinggalkan.
Semoga sumbangan yang diberikan dapat memberi manfaat serta sedikit sebanyak membantu keluarga penerima dalam menghadapi dugaan dan cabaran kehidupan.